Skip to main content

Jurnal

  • Jurusan Seni Kraf Tenunan

    Tajuk :
    Variasi Teknik Tenun Limar Motif Tradisional

    Kajian :
    1. Puan Noridah Johan
    2. Puan Norizah Abdullah
    3. Cik Nor Hidayah Che Man
    4. Cik Syarifah Aqilah Syed Yahya
    5. Cik Nor Hidayah Bening

    Keterangan :
    Kajian yang dijalankan adalah untuk mengkaji warna tindihan pada teknik ikat limar dan pengayaannya merangkumi aspek prinsip rekaan iaitu berantai, bertabur, batu bata, pergerakan dan sebagainya. Tujuan kajian adalah untuk menghasilkan motif ikat limar yang menggunakan pelbagai tindihan warna dan di samping itu juga bagi mengadaptasikan pembaharuan tentang limar songket. Selain itu, tujuan lain kajian ini dilakukan adalah untuk menghidupkan kembali warisan seni tenunan limar, mencari kaedah yang tepat teknik ikat limar (untuk mencari ketepatan motif ikat limar pada struktur kain songket limar) dan untuk bahan rujukan kepada pelajar Institut Kraf Negara. Antara kajian yang dilakukan adalah tentang teknik ikat limar pada ikat loseng, ikat pakan dan ikat berganda antara loseng dan juga pakan. Teknik limar ikat loseng merupakan teknik ikat limar yang dihasilkan dengan mengikat bahagian tertentu mengikut bahagian tertentu mengikut rekaan dan bahagian ikatan yang diikat adalah bahagian benang yang dipanggil ‘menunggu’ (warp). Manakala teknik ikat pakan adalah mengikat benang pakan atau benang mendatang (weft). Motif ditentukan oleh kelompok pada bahagian benang yang dianing. Teknik ikat berganda pula merupakan teknik ikat yang dilakukan pada ikat loseng dan ikat pakan.
  • Jurusan Seni Kraf Logam

    Tajuk :
    Penyelidikan Dan Pembangunan Bengkel Tempa

    Kajian :
    1. Encik Khairul Hafizi Naharuddin
    2. Encik Khairil Mohd Saat
    3. Encik Adnan Omar
    4. Cik Zatul Najahah Yunus

    Keterangan :
    Tujuan penyelidikan ini adalah mewujudkan sebuah bengkel tempa besi tradisional di Jurusan Senikraf Logam. Tumpuan yang diberikan dalam penyelidikan ini meliputi aspek pengumpulan maklumat dari segi bahan, peralatan serta perbandingan teknik yang digunakan. Tinjauan ke bengkel pengusaha dilakukan untuk tujuan pemetaan dan sesi soal jawab bersama pengusaha. Sebanyak seratus soalan dibuat untuk diajukan kepada pengusaha. Antara bahan yang digunakan untuk tujuan penyelidikan ini adalah bahan bacaan samada buku ataupun laman sesawang. Sumber maklumat ini digunakan untuk pencarian maklumat dari segi bahan dan peralatan yang sesuai untuk sesebuah bengkel tempa. Selain itu bahan mentah untuk tujuan penyelidikan adalah tembaga merah, tembaga kuning dan perak. Kaedah yang digunakan dalam kajian ini adalah membuat eksperimen menggunakan tiga teknik iaitu menggunakan dapur, elektrik dapur melebur, semawar dan gas. Hasil kajian ini adalah mendapatkan kadar banding ketiga-tiga teknik tersebut untuk mengetahui dapur yang sesuai untuk menempa. Perbandingan ini meliputi penggunaan bahan dan tahap kepanasan yang sesuai untuk menempa. Hasil dan keputusan yang diperolehi akan dibentangkan menggunakan jadual serta gambarajah bagi menunjukkan perbandingan teknik yang digunakan dan gambaran sebuah bengkel yang lengkap setelah mendapatkan kadar banding tiga teknik tersebut didapati terdapat beberapa kelemahan. Kajian berkenaan bengkel tempa tradisional dijalankan dan maklumat yang diperolehi ini membantu di dalam usaha mewujudkan sebuah bengkel tempa. Berdasarkan kajian ini satu bengkel yang lengkap dan sesuai dapat diwujudkan di Jurusan Senikraf Logam.
  • Jurusan Seni Kraf Rotan

    Tajuk :
    Penyelidikan Dan Pembangunan Dalam Teknik Lilitan Gegelung Kraf Rotan

    Kajian :
    1. Encik Noorizal Ramly
    2. Encik Mohd Nor Amin Hamdy
    3. Encik Nordin Kahal
    4. Encik Mohd Jefry Afanizam Mat Isa
    5. Cik Zuraimah Mat Yasin @ Mat Ali

    Keterangan :
    Kajian teknik Lilitan Gegelung ini dijalankan kerana kurangnya produk-produk kraf rotan di pasaran yang menggunakan teknik ini. Teknik ini adalah satu teknik asas di dalam pembuatan bakul yang diguna pakai di seluruh Malaysia. Senario produk kraf anyaman rotan di Malaysia, secara umumnya tertumpu pada satu teknik asas, yakni “Tiang dan Anyam”. Kajian ini adalah untuk memahami mengapa wujudnya jurang di dalam produk kraf rotan. Ini dilakukan dengan memahami cara pembuatan dan seterusnya melakukan eksperimentasi dari segi bentuk, warna dan juga kemasan. Dapatan yang diperolehi akan dijadikan garis panduan dalam pembelajaran di Institut Kraf Negara. Maklumat ini disebarkan kepada pelajar dan seterusnya kepada industri, supaya teknik ini menjadi satu teknik biasa (“common technique”) pada senario pembuatan bakul berasaskan rotan.
  • Jurusan Seni Kraf Seramik

    Tajuk :
    Kajian Warna Terhadap Licau Bersuhu 1185°C Dan 1100°C Siri II

    Kajian :
    1. Encik So'hibul Azri Ahmad
    2. Encik Mohamad Rizan Mohamad Nordin
    3. Cik Siti Nazilah Mohd Yusof
    4. Cik Rosnah Zakaria

    Keterangan :
    Kajian ini bertujuan untuk mengenalpasti kesan warna terbaru yang melibatkan aspek bahan, teknik aplikasi dan oksida (oxide) yang sedia ada di Jurusan Senikraf Seramik. Setiap aspek ini dikaji untuk mendapatkan formula yang sempurna. Licau adalah bahan penting dalam penghasilan produk seramik kerana ia akan menonjolkan nilai keindahan sesuatu produk. Bahan kajian ini menekankan teknik aplikasi untuk memperoleh hasil licau yang baik dan melihat kesan licau selepas dan sebelum proses pembakaran. Tumpuan adalah pada dua jenis suhu yang berlainan iaitu 1185°C dan 1100°C untuk melihat kesesuaian licau terhadap produk yang akan dihasilkan. Kebanyakan licau yang dikaji di jurusan ini lebih kepada warna yang gelap dan ia kurang memberikan kesan estetika terhadap produk yang dihasilkan. Kajian ini dapat membantu meningkatkan mutu licau dan kesan yang lebih baik ke atas produk yang akan dihasilkan.
  • Jurusan Seni Kraf Batik

    Tajuk :
    Kajian Warna Dalam Rekaan Batik Blok

    Kajian :
    1. Puan Faridah Haji Salehan
    2. Encik Rozi Muhammad Nor
    3. Encik Mohamad Helmi Shoib
    4. Encik Maisur Johari
    5. Encik Syahizan Faiz Samak

    Keterangan :
    Kajian yang dijalankan berkaitan dengan kajian warna dalam rekaan batik blok (resepi penghasilan warna baru, kombinasi kumpulan skema roda warna). Hasil daripada kajian tersebut pengkaji mendapati penggunaan warna pada zaman dahulu amat terhad dan tidak memiliki banyak pilihan warna dalam menghasilkan produk masyarakat dahulu. Projek ini meliputi kajian warna dalam rekaan batik blok. Pengkaji juga menjalankan eksperimen terhadap pelbagai jenis kain untuk melihat tahap perbandingan dan perbezaan kesan warna mengikut jenis fabrik. Salah satu fabrik yang digunakan adalah terdiri daripada kain cotton, satin dan cdc. Eksperimen dijalankan terhadap 23 jenis warna remazol dengan mengikut kepada sukatan atau nisbah warna yang dirancang, pengkaji juga mengambil kira formula asal sukatan warna dalan pembatikan iaitu 1,3 dan 5ml (air panas : 40ml + air sejuk : 60ml) = 100ml air. Manakala untuk campuran warna remazol, pengkaji menggunakan kaedah campuran 2, 3, 4 dan 5 warna. Hasil daripada gabungan warna tersebut maka terhasillah pelbagai jenis warna yang menarik. Warna-warna dalam kajian yang akan dijalankan juga terdiri daripada warna, primary, secondary, tertiary, complementary, split complementary, harmoni triad, tetrad complement, tetrad split complementary dengan merujuk kepada penggunaan warna dalam roda warna.
  • Jurusan Seni Kraf Kayu

    Tajuk :
    Mengaplikasikan Teknik Rehal 4 Lapis Dalam Menghasilkan Produk Berinovasi Dan Bercirikan Malaysia

    Kajian :
    1. Encik Norzehan Adli Muhamad
    2. Encik Azril Bin Jamal Ares
    3. Encik Norihsan Bin Razali

    Keterangan :
    Rehal merupakan satu barangan seni yang mewakili ketamadunan Melayu dan kesenian Islam di Malaysia. Teknik penghasilan bentuk mengikut fungsi menjadikan rehal berjejari dan bersilang sebagai satu produk yang diterima pakai dalam pembelajaran dan ajaran Islam. Dianggap produk yang mempunyai kekuatan nilai estetika dan praktikal dari segi penggunaan menjadikan rehal sebagai produk yang mempunyai daya kreativiti yang tinggi. Mempelbagaikan rekabentuk rehal, teknik penghasilan rehal 4 lapis diaplikasikan pada produk yang lebih berinovasi dan bercirikan Malaysia. Inovasi teknik ini menjurus kepada pengkaedahan dan penyesuaian kepada pemikiran dan idea sedia ada. Pengkaedahan dan penyesuaian atau moditifikasi ini dapat member nilai tambah baru yang boleh diguna pakai dan dimanfaatkan serta dijadikan sebagai produk yang boleh dikomersilkan.